Monday, October 25, 2010

STAMP: Setem Warisan Diraja Pahang Dilancar Semalam


Sultan Ahmad Shah (kiri) menurunkan tandatangan baginda pada satu daripada koleksi setem khas ‘Warisan Diraja Pahang’ selepas melancarkannya sambil diperhatikan Rais Yatim di Kuantan, semalam. – BERNAMA


KUANTAN 19 Okt. – Pos Malaysia semalam melancarkan koleksi setem khas warisan diraja Pahang dan sampul surat hari pertama Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena hari keputeraan baginda.
Setem yang bernilai 60 sen, 80 sen dan RM1 memaparkan alat kebesaran diraja, tenunan Pahang, cop mohor selain potret baginda dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom itu akan dijual mulai 24 Oktober ini. Sampul surat hari pertama pula dijual pada harga 30 sen manakala folder berharga RM5.50 sekeping.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, koleksi setem itu dikeluarkan sebagai memperingati warisan turun-temurun keluarga diraja Pahang dan menghargai kedaulatan pemerintahan baginda.
‘‘Melalui usaha ini juga, ia dapat mengembangkan pengetahuan berkenaan warisan keluarga diraja yang begitu unik.
‘‘Kami juga bangga kerana diberi peluang oleh kerajaan negeri untuk menghasilkan setem ini serta menzahirkan penghargaan kami kepada ke bawah duli tuanku bagi mengekalkan budaya dan warisan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Berangkat pada majlis tersebut, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sementara itu, menurut Rais, Pos Malaysia akan mengeluarkan lebih banyak koleksi setem khas iaitu antara 14 hingga 18 pengeluaran setahun berdasarkan peristiwa penting negara.
“Kita akan berusaha mengeluarkan setem untuk mengenang kembali misalnya gagasan 1Malaysia, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan beberapa peristiwa bersejarah negara,” jelasnya.
Tambah Rais, usaha mengabadikan peristiwa bersejarah melalui setem itu dapat mewujudkan minat dan kecintaan masyarakat terutama generasi muda terhadap hobi mengumpul setem.

Source:  utusanpahang@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment